Tuesday 6 May 2014


DEFINISI MEMBACA

Terdapat pelbagai definisi tentang membaca. Atan Long (1978) menyatakan proses membaca melibatkan kebolehan mengenal lambang-lambang dan menterjemah lambang-lambang itu semula kepada bunyi suara dan memahami makna atau tanggapan yang disampaikan oleh tulisan itu.

1. Kamus dewan
  • Bacaan merupakan bahan untuk dibaca, cara membaca dan hasil membaca
  • Membaca merupakan proses yang dilakukan oleh pembaca bagi membentuk atau memberikan makna terhadap teks yang dibacanya dengan menggunakan kandungan teks dan pengetahuan latar pembaca tersebut sebelum membuat keputusan



2. Raminah Hj. Sabran  dan Rahim Syam (1985)
  • Membaca sebagai menggabungkan beberapa kemahiran iaitu kemahiran penglibatan yang diskriminatif (untuk mengenal dan membezakan bentuk-bentuk huruf), kemahiran mengingat, mendengar dan membezakan bunyi-bunyi dengan tepat dan jelas, menyebut bunyi-bunyi yang dilambangkan oleh huruf-huruf, menggabungkan penyebutan bunyi-bunyi itu untuk membentuk perkataan dan berkebolehan pula memindahkan lambang-lambang yang dibacanya itu kepada sistem saraf pusat untuk menterjemahkan dan memahami apa yang dibacanya.


3. Zulkifley Hamid (1994)
  • Kemahiran membaca tidak akan dimiliki oleh seseorang pelajar melainkan setelah beliau mampu melakukan proses-proses seperti mengenali dan membezakan fonem-fonem untuk membentuk perkataan dan memindahkan lambing-lambang yang dibacanya itu kepada sistem saraf untuk diterjemahkan (kepada bunyi-bunyi bahasa yang diwakili oleh simbol-simbol fonem) dan difahami apa yang dibaca.


4. Pumfrey (1977)
  • Membaca bukanlah hanya bersifat mekanikal iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan tentang apa yang dibaca, tetapi membaca mempunyai fungsi yang lebih jauh daripada itu. Kemahiran membaca merupakan satu proses yang memerlukan seseorang itu menterjemahkan lambang-lambang tulisan kepada lambang-lambang bunyi serta memahami makna dan buah fikiran yang hendak disampaikan oleh seseorang penulis itu.


5. Kamarudin Haji Husin (1988)
  • Menyatakan murid-murid yang boleh memindahkan tulisan kepada suara, walau bagaimana lancar sekalipun, jika tidak memahami apa yang disuarakan maka murid-murid itu tidaklah boleh dianggapp sebagai pandai membaca.


Definisi Membaca Keseluruhan

Secara kesimpulannya, seseorang yang boleh membaca tetapi tidak memahami isi bacaan itu serta tidak menterjemahkannya secara tepat dan betul sama ada secara lisan mahupun bertulis bolehlah dikategorikan sebagai tidak pandai membaca. Perkara ini amat penting kepada murid-murid kerana ini dapat membantu mereka dalam pelajaran terutamanya apabila mereka menghadapi peperiksaan.








No comments: